Wednesday, January 7, 2009
SUNGAI RAMBAI, 17 Dis - Dewan serbaguna serta surau di Kampung Parit Perawas, Sungai Rambai Timur, di sini, bakal dijadikan sebagai pusat penempatan sementara untuk mangsa-mangsa banjir.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, dewan serbaguna dan surau tersebut telah dua kali digunakan sebagai pusat penempatan sementara bagi mangsa-mangsa banjir iaitu pada tahun 2006 dan juga pada tahun ini.“Di masa hadapan, kita akan mengumpulkan kesemua mangsa-mangsa banjir di dewan serbaguna dan surau ini memandangkan terdapatnya banyak kemudahan di situ.“Oleh itu, diharapkan segala kemudahan yang terdapat di kawasan ini akan dapat dipertingkatkan lagi seperti tandas, bilik mandi, pantry serta dewan juga akan diperbaiki dan kemaskini pada masa hadapan,” katanya.Hasan berkata demikian selepas menyampaikan bekalan makanan asas kepada lima keluarga mangsa banjir sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, kelmarin.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Karim Sulaiman; Ketua Penolong Pegawai Daerah Jasin, Mohd Sakri Seman; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Melaka (JKM), Roslan Baba dan Pegawai JKM daerah, Abdul Rahman Jaafar; Penghulu DUN Sungai Rambai, Ariff Umar serta wakil-wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Polis Sungai Rambai serta ATM.Kesemua lima keluarga mangsa banjir meliputi 26 ahli itu di tempatkan di pusat penempatan sementara di dewan dan surau di kampung tersebut sejak Jumaat lalu apabila rumah mereka dimasuki air akibat limpahan air dari Sungai Kesang.Jelasnya, kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah pihaknya mengadakan mesyuarat dengan agensi Kerajaan dan mendapati paras air semakin surut.
0 Comments:
Post a Comment